Berita Harian 17/02/12

ZON euro memberitahu Greece, ia mesti menerima pengawasan ketat oleh Kesatuan Eropah (EU) jika mahu menerima dana penyelamat minggu depan bagi mengelakkan kegagalan membayar hutang, walaupun timbul halangan utama pada perbincangan malam kelmarin.
Kenyataan daripada Pengerusi Kumpulan Euro, Jean-Claude Juncker selepas persidangan video, ketika menteri kewangan zon itu mahukan penyeliaan rapi dibuat terhadap perbelanjaan dan pendapatan Greece.

Beberapa musuh tidak lagi mahukan Greece berada dalam kumpulan zon euro. - Evangelos Venizelos, Menteri Kewangan GreecePersidangan berkenaan bagaimanapun seperti mengelak daripada menyebut apa-apa mengenai dana penyelamat 230 bilion euro (RM910 bilion) yang menjadi perbalahan itu.

Sebaliknya, Perdana Menteri Luxembourg, berkata hanya dengan itu baru beliau yakin rakan sejawatannya itu akan menerima semua keputusan yang perlu pada Isnin depan, apabila mereka bertemu secara bersemuka di Brussels.

Dengan masa kian menghampiri untuk tarikh akhir pembayaran semula bon bernilai 14.5 bilion euro (RM58 bilion) untuk kerajaan Greece pada 20 Mac ini, nilai euro jatuh berbanding dolar AS untuk empat hari berturut-turut.

Bahang awal sudah mula terasa apabila Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schaeuble, memberi amaran “kami boleh membantu, tetapi kami tidak akan menyalurkan wang ke dalam lubang yang tersangat dalam”.
Ditekan dengan pelbagai syarat untuk menerima pinjaman pertama yang dijanjikan pada Oktober, Menteri Kewangan Greece, Evangelos Venizelos memberitahu rakyatnya bahawa beberapa musuhnya tidak lagi mahukan negara berkenaan berada dalam kumpulan zon euro.

Presidennya, Carolos Papoulias, berkata: “Saya tidak boleh terima negara saya dihina oleh Schaeuble, sebagai rakyat Greece, saya tidak boleh terimanya.”

Beliau turut menamakan Belanda dan Finland sebagai musuhnya, iaitu Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte sudah pun menyatakan kesudiannya untuk mencadangkan penyingkiran Greece dari zon euro.

Pemimpin pakatan Greece memberi ‘jaminan yang kukuh’ bahawa penjimatan dan reformasi akan dilaksanakan oleh pihak yang memenangi pilihan raya umum April depan, katanya.

Sementara juruaudit asing menyediakan analisis mengenai kemampanan hutang Greece, Athens pula mengenal pasti pengurangan tambahan 325 juta euro.

Dalam surat yang diminta rakan zon euro, pemimpin Konservatif Greece, Antonis Samaras, berkata partinya akan terus komited kepada objektif, sasaran dan dasar utama dengan apa dikenali sebagai larian troika, dana penyelamat pertama yang berlaku hampir dua tahun yang lalu .

Tetapi syarat untuk Greece penuhi bagi bantuan itu masih banyak, Juncker menandakan senarai lengkap tindakan penting yang Greece perlu selesaikan, bersama-sama dengan jangka masa untuk pelaksanaannya.

Dengan kepercayaan semakin menipis, Juncker berkata, pertimbangan lanjut adalah perlu untuk menyelia pengurusan dalam Greece dan memastikan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan hutang.

Ketua dana penyelamat di Athens sudah pun memulakan langkah mewujudkan ‘escrow’ atau menyekat akaun yang akan mengutamakan pemberi hutang kerajaan, kata sumber. – AFP

Related Posts: