Liga Arab Lulus Sekatan Ekonomi Ke Atas Syria

Kaherah – 19 Menteri Luar negara Aran yang menganggotai Liga Arab mengundi untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas rejim Syria.

Melalui sekatan tersebut, negara terbabit bersetuju menghentikan semua transaksi perbankan dengan Bank Pusat Syria dan membekukan aset kerajaan Syria.

Sekatan ini berkuat kuasa serta merta.

Dalam masa sama, beberapa langkah lain termasuk menggantung penerbangan akan dilaksanakan selepas jawatankuasa mengkaji perkara berkenaan.

Bagaimanapun jurucakap Liga Arab berkata, satu pertemuan akan diadakan di Doha, Qatar, Sabtu ini bagi membincangkan sekatan tersebut agar ia tidak memberikan kesan kepada penduduk Syria dan negara jirannya.

Namun tidak diketahui bagaimana sekatan berkenaan boleh memberikan kesan ke atas Iraq dan Lubnan, iaitu dua negara yang menjadi rakan kongsi ekonomi terbesar Syria.

“Penduduk Syria telah dibunuh dan kita tidak mahu perkara ini berlaku. Tentera sepatutnya tidak membunuh walaupun seorang dan kuasa yang dimiliki tidak akan membawa erti jika anda menjadi musuh kepada rakyat sendiri,” kata jurucakap berkenaan.

Sekatan ekonomi ini merupakan langkah terbesar yang diambil oleh negara Arab dalam usaha memingirkan Syria yang masih enggan menamatkan keganasan ke atas penunjuk perasaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Elaraby berkata, pertubuhan berkenaan akan mengkaji semula sekatan tersebut sekiranya Syria melaksanakan pelan yang dirangka Liga Arab termasuk menarik balik semua kereta kebal dan tentera daripada jalan-jalan utama di negara itu dalam usaha menamatkan keganasan.

Tindakan terbaru Liga Arab ini merupakan salah satu daripada tekanan dan usaha yang dilakukan antarabangsa dalam usaha memaksa Damsyik menamatkan keganasan.

Sebelum ini Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat telah melaksanakan sekatan ke atas Damsyik.

Dalam pada itu, stesen televisyen Mesir melaporkan, sekatan ekonomi ini pertama kali dilaksanakan oleh Liga Arab ke atas negara Arab

Sumber: TTDI

Related Posts: